...سواتو ڤرکوڠسين

ک ارە کچمرلڠن ڤنديديقن يڠ برتروسن

...سواتو ڤرکوڠسين

ک ارە ترنسفورماسي ڤڠاجرن برترسکن

...سواتو ڤرکوڠسين

ک ارە معلم برميندا کلس ڤرتام

...سواتو ڤرکوڠسين

ک ارە ملاهيرکن انسان کاميل دونيا دان احيرة

...سواتو ڤرکوڠسين

ممرتبتکن سيستم ڤنديديقن

Friday, 14 December 2012

Teknik Cepat Belajar Jawi 

Salam Sejahtera, Berikut merupakan perkongsian berkaitan Teknik Cepat
Belajar Jawi yang boleh dikongsikan bersama oleh semua guru Pendidikan Islam.









 

Rahsia Solat 5 Waktu....




Ali bin Abi Talib r.a. berkata,

"Sewaktu Rasullullah saw duduk bersama para sahabat Muhajirin dan Ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata, 'Ya Muhammad, kami hendak bertanya kepada kamu kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s. yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.

' Lalu Rasullullah saw bersabda, 'Silakan bertanya.'

Berkata orang Yahudi, 'Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu.'
"Sabda Rasullullah saw, 'Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada Tuhannya.

Sembahyang Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam a.s. memakan buah khuldi.

Sembahyang Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam a.s. Maka setiap mukmin yang bersembahyang Maghrib dengan ikhlas dan kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya.

Sembahyang Isyak itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul sebelumku.

Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit matahari. Ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya setiap orang kafir.'

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah saw, lalu mereka berkata, 'Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad.

Katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang sembahyang.

' Rasullullah saw bersabda, 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sembahyang yang pertengahan.

Sembahyang Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam. Orang-orang mukmin yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.'

Sabda Rasullullah saw lagi, 'Manakala sembahyang Asar, adalah saat di mana Nabi Adam a.s. memakan buah khuldi. Orang-orang mukmin yang mengerjakan sembahyang Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.'

Selepas itu Rasullullah saw membaca ayat yang bermaksud, 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sekali sembahyang yang pertengahan.

Sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam a.s. diterima. Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan sembahyang Maghrib kemudian meminta sesuatu daripada Allah, maka Allah akan perkenankan.'

Sabda Rasullullah saw, 'Sembahyang Isyak (atamah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isyak berjamaah, Allah SWT haramkan dirinya daripada terkena nyala api neraka dan diberikan kepadanya cahaya untuk menyeberangi Titian Sirath.'

Sabda Rasullullah saw seterusnya, 'Sembahyang Subuh pula, seseorang mukmin yang mengerjakan sembahyang Subuh selama 40 hari secara berjamaah, diberikan kepadanya oleh Allah SWT dua kebebasan iaitu:

                     a) Dibebaskan daripada api neraka.
                     b) Dibebaskan dari nifaq.

"Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan daripada Rasullullah saw, maka mereka berkata,

'Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (saw).

Kini katakan pula kepada kami semua, kenapakah Allah SWT mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?'

Sabda Rasullullah saw, 'Ketika Nabi Adam memakan buah pohon khuldi yang dilarang, lalu makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam a.s. selama 30 hari. Kemudian Allah SWT mewajibkan ke atas keturunan Adam a.s. berlapar selama 30 hari. Sementara diizin makan di waktu malam itu adalah sebagai kurnia Allah SWT kepada makhluk-Nya.'

Kata orang Yahudi lagi,'Wahai Muhammad, memang benarlah apa yang kamu katakan itu.

Kini terangkan kepada kami mengenai ganjaran pahala yang diperolehi daripada berpuasa itu.'

Sabda Rasullullah saw, 'Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan ikhlas kepada Allah SWT, dia akan diberikan oleh Allah SWT 7 perkara:

 a) Akan dicairkan daging haram yang tumbuh dari badannya (daging yang tumbuh daripada makanan yang haram).
 b) Rahmat Allah sentiasa dekat dengannya.
 c) Diberi oleh Allah sebaik-baik amal.
 d) Dijauhkan daripada merasa lapar dan dahaga.
 e) Diringankan baginya siksa kubur (siksa yang amat mengerikan).
 f)  Diberikan cahaya oleh Allah SWT pada hari Kiamat untuk menyeberang Titian Sirath.
 g) Allah SWT akan memberinya kemudian di syurga.'

Kata orang Yahudi, 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad.

Katakan kepada kami kelebihanmu di antara semua para nabi.'

Sabda Rasullullah saw, 'Seorang nabi menggunakan doa mustajabnya untuk membinasakan umatnya, tetapi saya tetap menyimpankan doa saya (untuk saya gunakan memberi syafaat kepada umat saya di hari kiamat).'

Kata orang Yahudi, 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad.

Kini kami mengakui dengan ucapan Asyhadu Alla illaha illallah, wa annaka Rasulullah (kami percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan engkau utusan Allah).'


Peringatan !!!
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah: ayat 155) "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya." (Surah Al-Baqarah: ayat 286)

Jom Belajar Berwuduk..




Maksud Wuduk 

Wuduk dari segi bahasa adalah nama suatu perbuatan, iaitu menggunakan air pada anggota tertentu. Perkataan wuduk berasal dari perkataan wada’ah yang bermaksud keelokan, keindahan dan kebersihan.

Wuduk dari segi syarak pula ialah kebersihan tertentu atau perbuatan-perbuatan tertentu yang dimulai dengan niat, kemudian disusuli dengan membasuh muka, kedua tangan, kedua kaki dan menyapu kepala untuk membolehkan seseorang itu melakukan solat dan ibadah-ibadah yang lain memerlukan wuduk. Firman Allah SWT :
 
“Wahai orang-orang yang ceriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali”(Al-Maidah : 6)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

"Allah SWT tidak akan menerima solat seseorang yang berhadas sehingga ia berwuduk." (Riwayat Abu Daud)


Hukum Wuduk

  1. Wajib mengambil wuduk ketika hendak menunaikan ibadah seperti mendirikan solat fardu atau solat sunat.  Wuduk diwajibkan kepada sesiapa yang  hendak melakukan tawaf mengelilingi Kaabah sama ada tawaf fardu atau sunat. Selain dari itu, wuduk juga wajib dilakukan oleh orang yang hendak menyentuh Al-Quran. 

  2. Sunat bagi seseorang yang hendak menyentuh kitab-kitab syarak seperti Al-Quran, Hadis, Tafsir, Aqidah atau Fiqh. Kecuali bagi mana-mana kitab yang mengandungi ayat Al-Quran lebih banyak dari isi yang lain, maka diwajibkan orang tersebut mengambil wuduk. Selain dari itu, wuduk juga disunatkan kepada orang yang hendak tidur, mengusung jenazah dan disunatkan sentiasa berada di dalam keadaan wuduk.

Syarat Wuduk
  1. Beragama Islam kerana ia merupakan syarat wajibnya wuduk. Orang kafir tidak diwajibkan berwuduk kerana mereka menolak syariat Islam. Islam seseorang merupakan syarat kesempurnaan ibadah-ibadah yang lain seperti taharah, solat, puasa, zakat dan haji. 

  2. Berakal, wuduk tidak wajib dan tidak sah bagi orang yang tidak berakal seperti gila, mabuk atau pengsan. Tidak sah juga bagi orang yang lupa, kerana mereka tidak melakukan niat sebelum mengambil wuduk. 

  3. Baligh, wuduk tidak wajib bagi anak kecil, tetapi sah bagi anak yang sudah mumaiyiz seperti dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Mumaiyiz juga adalah salah satu dari syarat wuduk. 

  4. Berkuasa untuk menggunakan air  mutlak dan air tersebut mencukupi untuk berwuduk. Tidak wajib bagi orang yang mengalami kekurangan air. Terlebih dahulu mereka hendaklah mencari sumber air di kawasan sekeliling, jika masih tiada air lagi, maka diharuskan mereka bertayammum untuk menggantikan wuduk. 

  5. Berhadas kecil, keluar sesuatu dari dua jalan qubul dan dubur. Sebelum berwuduk, hendaklah ia membersihkan dahulu segala najis yang dialami olehnya, kemudian hendaklah mengulangi wuduknya kembali. 

  6. Suci dari hadas besar, orang yang mengalami hadas besar seperti keluar mani, haid, nifas dan bersetubuh, hendaklah terlebih dahulu mandi hadas. Tidak sah ibadah yang diharamkan ketika hadas besar. 

  7. Meratakan air keseluruhan anggota wuduk sehingga tidak ada sedikit pun tempat wuduk yang tidak terkena air. 

  8. Menghilangkan sesuatu yang dapat menghalangi air sampai ke anggota wuduk. Maksudnya di sini, tidak ada sesuatu benda yang dapat menghalang air terkena bahagian anggota wuduk seperti minyak, cat, sisik ikan atau getah.

Rukun Wuduk
  1. Niat

  2. Membasuh muka dari tempat tumbuh rambut di kepala sampai ke tulang dagu dan dari sebelah batas telinga kanan sampai batas telinga kiri. 

  3. Membasuh dua tangan bermula dari dua tapak tangan, dua lengan dan dua siku. Wajib dibasuh sekalian bulu, daging, jari-jari atau kuku yang tumbuh di kawasan wuduk. Kemudian bagi orang yang cacat atau putus tangan, hendaklah membasuh kawasan wuduk yang tertinggal sahaja dan jika tangan seseorang itu putus atas dari siku, wajiblah ia membasuh kawasan yang putus sahaja. 

  4. Mengusap sebahagian kepala dengan air seperti membasuh sebahagian kulit kepala atau rambut di dalam kawasan kepala sahaja. Tidak sah wuduk bagi orang yang membasuh rambut di luar kawasan kepalanya. 

  5. Membasuh dua kaki dengan menyampaikan air mutlak sekeliling kaki dan wajib menghilangkan sesuatu yang menghalang air sampai ke kawasan wuduk seperti membersihkan kuku dan celah-celah jari dari kekotoran. Bagi orang yang putus kaki atau cacat hendaklah ia membasuh kawasan yang masih tertinggal sahaja.

  6. Tertib (berturutan) seperti memulakan wuduk itu dengan niat, membasuh muka, membasuh kedua tangan, membasuh kepala dan yang terakhir membasuh kedua kaki. Batal wuduk bagi orang yang tidak mengikut aturan syarak.

Sunat Wuduk

  1. Membaca Bismillah

  2. Membasuh tangan dari tapak tangan hingga pergelangan tangan. 

  3. Bersugi dengan sesuatu yang kesat seperti berus gigi, kayu sugi atau kain.

  4. Berkumur-kumur dengan memasukkan air ke dalam mulut. 

  5. Membersihkan hidung dengan cara memasukkan air di dalam lubang hidung. 

  6. Menyapu seluruh kepala dengan air. 

  7. Membasuh kedua telinga dari sebelah luar dan dalam telinga.

  8. Membasuh kaki dengan menyelati jari tangan di bahagian jari kaki agar air sampai kebahagian tersebut. 

  9. Tidak berkata-kata semasa mengambil wuduk.

  10. Mendahulukan anggota kanan dahulu dari  anggota sebelah kiri.

  11. Membasuh anggota wuduk sebanyak tiga kali berturut-turut. 

  12. Membaca doa sesudah selesai berwuduk

Perkara Yang Membatalkan Wuduk


  1. Keluar sesuatu dari salah satu jalan qubul atau dubur. 

  2. Hilangnya akal sama ada gila, pengsan atau mabuk. 

  3. Bersentuhan kulit lelaki dengan kulit perempuan yang ajnabi (orang yang boleh berkahwin). Tidak batal wuduk bagi mereka yang mahram seperti anak dengan ibu atau adik dengan kakak. 

  4. Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan, sama ada milik sendiri atau milik orang lain. 

  5. Tidur yang tidak tetap kedudukannya seperti tidur berbaring. Tidak terbatal wuduk bagi orang yang tidur secara duduk dan tidak berubah keadaan mula ia tidur sehingga ia bangun dari tidur.

  6. Murtad seorang Muslim sama ada dari hati, perkataan dan perbuatannya.

Ibadah Yang Perlu Berwuduk

  1. Solat wajib atau solat sunat kecuali solat jenazah. 

  2. Melakukan tawaf fardu atau sunat di Baitullah. 

  3. Sujud tilawah atau sujud syukur. 

  4. Memegang, menyentuh dan membawa Al-Quran kecuali ketika hendak menyelamatkan Al-Quran dari terbakar atau terjatuh dari tempat tinggi.

Hikmah Wuduk

Ibnu Qaiyyim Al-Jauzi menyatakan bahawa wuduk dapat mendatangkan kesegaran badan, kesedapan jiwa, kecergasan diri dan menghilangkan  setiap kekotoran yang diperoleh oleh seseorang. Wuduk juga adalah sebahagian dari rawatan kesihatan kepada umat manusia, kerana ia dapat merangsang pusingan biologi manusia dengan merangsang kawasan tertentu yang terdiri dari anggota-anggota wuduk.

Orang yang berwuduk dapat mengekalkan kesihatan badan dan dapat menjauhkan dirinya dari segala penyakit yang berpunca dari jangkitan kuman. Selain dari itu, wuduk dapat memberikan ketenteraman jiwa kepada orang yang sering mengambilnya. Jika seseorang itu menghadapi masalah atau stress, maka lebih baik ia mengambil wuduk untuk menenteramkan jiwanya supaya ia tidak melakukan perbuatan yang tidak normal.

Setiap manusia sering kali terdedah dengan kekotoran batin dengan menggunakan anggota wuduk seperti tangan, kaki, akal, mata dan telinga untuk melakukan maksiat. Jadi cara untuk menyucikan kekotoran batin ini adalah dengan mengambil air wuduk agar dosa yang dilakukan itu gugur bersama air wuduk tersebut. Dari Anas ra mengatakan :

“Rasulullah SAW bersabda : mahukah aku beritahukan kepada mu amalan-amalan, yang apabila diamalkan Allah akan menghapuskan segala dosa-dosa dan menaikkan darjat? Sahabat menjawab : tentu kami mahukan itu, wahai Rasulullah. Baginda bersabda : menyempurnakan wuduk meskipun dalam keadaan yang sukar, memperbanyak langkah menuju masjid dan menunggu waktu solat sebelum masuk waktunya. Inilah yang dinamakan berjuang di jalan Allah, inilah yang dinamakan berjuang di jalan Allah, inilah yang dinamakan berjuang di jalan Allah.” (Riwayat Muslim)

Adab Berwuduk

  1. Mengadap kiblat, kerana kiblat merupakan arah yang paling utama dan perbuatan seperti ini juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. 

  2. Berada pada tempat yang tinggi untuk mengelakkan dari percikan sisa air wuduk yang telah digunakan.

  3. Tidak berkata-kata dengan orang lain tanpa adanya sesuatu yang memaksa. Sikap seperti ini akan menghilangkan pahala wuduk dan ini juga perbuatan yang makruh. 

  4. Bagi orang yang memakai cincin hendaklah menggerak-gerakkan cincinnya agar air wuduk itu dapat sampai ke kawasan cincin tersebut. 

  5. Menggunakan tangan kanan ketika mengambil air untuk berkumur, membasuh muka dan membasuh kepala. Menggunakan tangan kiri pula ketika hendak membuangkan kotoran atau hingus yang terdapat di dalam hidung. 

  6. Melaksanakan wuduk sebelum masuk waktu solat bagi orang yang tidak uzur. Perbuatan seperti ini adalah langkah bersegera untuk mendirikan solat. 

  7. Memasukkan jari manis yang dibasahi dengan air ke dalam lubang telinga untuk membersihkannya. 

  8. Melebihkan basuhan muka, kedua tangan dan kedua kaki dari batas yang telah diwajibkan. 

  9. Hendaklah menjimatkan air ketika mengambil wuduk, kerana perbuatan membazir itu adalah makruh dan sebahagian dari perbuatan syaitan. 

  10. Membaca syahadah dan doa setelah selesai berwuduk

                                                                   Mari Belajar Tayamum


Tayamum pada bahasa adalah qasad yang bermaksud sengaja atau tuju. Manakala dari segi istilah syarak pula ialah menyampaikan tanah yang suci ke muka dan kedua tangan sebagai pengganti kepada wuduk dengan niat atau cara tertentu. Firman Allah SWT : “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih, iaitu sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu.” (Al-Maidah : 6)  

Waktu Yang Diharuskan Tayamum 

Apabila seseorang tidak mampu menggunakan air kerana mengalami kecederaan dan bimbang kecederaan itu bertambah sakit atau lambat sembuh. Air yang ada hanya cukup untuk dijadikan minuman bagi dirinya atau keluarganya pada masa itu dan masa akan datang. Seseorang yang takut kepada musuh yang terdiri dari manusia atau binatang buas yang boleh mengancam nyawanya semasa dia pergi untuk mencari air. Air yang ada hanya cukup untuk minuman haiwan peliharaannya sahaja seperti kambing, kuda atau lembu. Bekalan air hanya cukup untuk digunakan pada masakan sahaja seperti menguli tepung atau memasak nasi. Air hanya cukup digunakan untuk membasuh najis yang tidak dimaafkan seperti air kencing atau tahi. Seseorang yang berada di negara yang mengalami kesejukan secara luar biasa dan bimbang akan berlaku musibah pada dirinya jika ia menggunakan air pada waktu tersebut. Air terlalu jauh darinya melebihi jarak 2 ½ km dan tidak wajib baginya berusaha mendapatkan air tersebut. 

Syarat-syarat Tayamum 

Mengetahui terlebih dahulu masuknya waktu solat. Mencari air dahulu selepas masuk waktu solat. Menghilangkan najis terlebih dahulu sebelum tayamum. Tanah yang suci lagi menyucikan dan tidak bercampur dengan tepung atau simen. Berijtihad menentukan arah kiblat dahulu sebelum tayamum.

Rukun Tayamum 

Niat tayamum “Sahaja aku tayamum kerana mengharuskan fardu solat”. Meletakkan kedua tapak tangan ke atas tanah yang suci yang mempunyai debu, kemudian menyapu ke seluruh bahagian mukanya. Meletakkan tangan ke atas tanah debu di bahagian yang belum disentuh, sapukan kedua tangan hingga ke siku seperti tangan kiri menyapu tangan kanan dan tangan kanan menyapu tangan kiri. Tertib (teratur) sebagaimana yang telah disebutkan di atas. Tayamum adalah ganti kepada wuduk dan tertib juga adalah sebahagian dari rukun tayamum sepertimana terdapat pada wuduk.

Sunat Tayamum 

Sunat pada tayamum adalah semua perkara yang disunatkan ketika melakukan wuduk seperti membaca bismillah, menyapu bahagian atas pada muka atau mendahulukan anggota kanan dari anggota kiri. Membuka atau merenggangkan jari-jari tangan semasa menepuk tanah agar debu dapat sampai ke seluruh bahagian tapak tangan atau jari. Ini bertujuan untuk mengenakan tanah debu ke seluruh anggota tayamum. Mengetuk tangan selepas menepuk tanah debu agar tanah yang berlebihan dapat dikurangkan dan ini merupakan perbuatan Rasulullah SAW.

Perkara yang membatalkan Tayamum 

Segala perkara yang membatalkan wuduk. Ada air atau memperoleh air sebelum memulakan solat. Orang yang uzur mampu menggunakan air. Murtad.

Cara Bertayamum 

Diwajibkan bagi seseorang berniat terlebih dahulu semasa hendak melakukan tayamum. Kemudian hendaklah dia membaca bismillah dan meletakkan kedua tapak tangan ke atas tanah debu dan menyapukannya ke seluruh bahagian mukanya. Setelah itu diletakkan semula tangannya ke tanah debu dan disapu pada kedua tangannya hingga ke siku. Hal ini juga telah dibicarakan pada perbahasan di atas.

Sekian Terima Kasih..

Thursday, 13 December 2012

Taqwim Persekolahan 2013 Salam sejahtera, semua guru boleh mendapatkan taqwim persekolahan 2013 dari laman web KPM di sini..
Taqwim Persekolahan 2013

Wednesday, 12 December 2012

Video rujukan untuk Bahan Bantu Mengajar Kem Bestari Solat.. VIDEO 1 VIDEO 2 VIDEO 3

KEM BESTARI SOLAT : DOWNLOAD BAHAN-BAHAN KEM BESTARI SOLAT Kepada pengunjung yang ingin mendapatkan bahan-bahan Kem Bestari Solat Program j-QAF, sebagai bahan bantu perlaksanaan kem solat. Kredit kepada blog jqaf SK Parit Haji Taib atas perkongsian bahan yang amat berguna kepada semua guru dan murid-murid.
sila klik pada link bahan yang tersedia di bawah. BAHAN KEM SOLAT 1 BAHAN KEM SOLAT 2 BAHAN KEM SOLAT 3